Assalamualaikum...
Setiap
manusia diatas mukabumi ini berusaha. Setiap orang yang berusaha akan mendapat
keyakinan atas apa yang diusahakan. Seorang petani yang usaha atas pertanian
maka akan dapat keyakinan atas pertaniannya. Seorang peniaga yang usaha atas
perniagaan maka akan dapat keyakinan untuk dapat sesuatu dari perniagaannya.
Seorang pemerintah yang ada keyakinan atas pemerintahannya, yang usaha atas
kuasanya maka akan datang keyakinan atas kuasanya. Setiap orang berusaha dan
dalam hati mereka ada keyakinan atas usaha yang mereka telah lakukan.
Hari ini usaha
atas agama telah ditinggalkan, usaha atas iman telah ditinggalkan oleh manusia.
Oleh kerana itu, keyakinan atas agama telah keluar daripada hati manusia. Hari
ini agama telah jadi satu benda yang ikhtiar dan infradi, satu benda pilihan
dan bersifat peribadi. Sedangkan agama adalah bersifat ijtimai. Asalnya agama
bersifat ijtimai dan umum. Agama perlu diamalkan secara ijtimai. Oleh kerana
tiada usaha atas agama, maka dari hati orang Islam sendiri telah tidak ada
keyakinan pada agama. Telah tidak ada penggantungan pada agama bahawa dengan
agama kita akan dapat kejayaan. Punca utama ialah kerana usaha agama telah
ditinggalkan.
Allah
s.w.t telah janjikan hidayah dengan usaha mereka yang bermujahadah, berusaha
dan bersusah payah. Usaha yang macam mana? Maulana kata ada banyak cara usaha
tetapi usaha yang dikehendaki ialah usaha yang mengikut kehendak Allah s.w.t
dengan cara yang telah dibuat oleh Nabi s.a.w. Usaha yang mana Nabi s.a.w telah
bangunkan sahabat-sahabat. Usaha yang mana Nabi s.a.w telah sediakan
sahabat-sahabat. Melalui usaha itu, agama akan datang dalam kehidupan kita.
Kita kena yakin dalam hati kita, bahawa satu-satunya cara yang pasti untuk
dapat hidayat daripada Allah s.w.t adalah dengan perantaraan usaha dakwah
illallah. Usaha tersebut hendaklah dijalankan dengan cara yang telah dibuat
oleh Nabi s.a.w. Kita kena buat usaha dengan cara yang dikehendaki oleh Allah
s.w.t yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Kita kena pasak dalam hati kita
bahawa hanya dengan usaha yang dibuat oleh Nabi s.a.w dan sahabat-sahabat
sahaja agama akan datang dalam kehidupan kita dan seluruh umat. Tidak ada cara
lain. Usaha yang dibuat bukan dengan cara Nabi s.a.w dan sahabat, maka bukan
agama yang akan datang tetapi di khuatiri kesesatan/fitnah yang akan datang.
Dengan cara lain hidayat tidak akan datang.
Kalau dimana-mana
disudut dalam hati kita ada sedikit keraguan, kita fikir dalam banyak-banyak
usaha ini adalah salah satu usaha, dengan cara lain pun boleh dapat hidayat,
kalau ada perasaan macam ini, tidak ada yakin dalam hati, maka dia tidak akan
dapat hidayat. Allah s.w.t telah beritahu dengan sungguh-sungguh, mereka yang
bermujahadah/bersusahpayah dengan cara yang Kami kehendaki, pasti dan pasti
Kami akan bagi hidayah padanya. Kita kena ada keyakinan 100% bahawa bila buat
usaha dengan cara yang dikehendaki oleh Allah s.w.t, dengan cara Nabi s.a.w dan
sahabat-sahabat, maka pasti hidayat akan datang. Usaha ini perlu dibangunkan
secara ijtimai dalam umat ini barulah hidayat akan datang daripada Allah s.w.t.
Yakin
akan datang dalam hati kita hanya dengan perantaraan dakwah. Agama akan datang
dalam diri manusia hanya dengan perantaraan yakin. Maulana Ilyas rah. kata
inilah jalannya untuk bina yakin, untuk bentuk yakin. Dengan perantaraan dakwah
yakin akan dapat diubah, yakin akan dapat dibaiki. Inilah langkah yang pertama
dalam usaha kita dan usaha semua nabi-nabi a.s iaitu untuk betulkan yakin. Bagaimana
yakin dapat dibetulkan sehingga dalam hati kita tidak ada keyakinan selain
daripada Allah s.w.t. Dalam hati ada keyakinan bahawa segala sesuatu hanya
berlaku dengan kudrat Allah s.w.t, semua berlaku dengan perintah Allah s.w.t.
Setiap perkara yang telah berlaku, akan berlaku, semuanya berlaku kerana
perintah Allah s.w.t. Ini perkara yang paling asas. Ini perkara yang paling
penting yang mana semua orang Islam kena faham. Kita kena rasa inilah keperluan
yang paling penting. Inilah tanggungjawab yang pertama. Inilah tugas pertama
kita iaitu untuk betulkan yakin. Yakin yang betul dalam hati dan bulat hanya
pada Allah s.w.t.
Maulana Ilyas
rah. begitu berhati-hati dalam perkara ini. Satu orang telah berkata ‘secara
kebetulan benda ini berlaku’. Maulana Ilyas rah. sangat marah. Macam mana boleh
kebetulan berlaku. Ini perkataan orang yang tidak percaya pada tuhan. Dengan
kehendak Allah s.w.t semua berlaku. Dengan perintah Allah s.w.t perkara ini
telah berlaku. Untuk betulkan yakin kita, pertama sekali kena betulkan
percakapan kita, kena betulkan fikir kita. Dalam kehidupan kita 24 jam tidak
ada satu perkataan pun yang keluar dari mulut kita yang bertentangan dengan
kalimah lailahaillallah. Fikir kita, percakapan kita, pandangan kita, tidak ada
sedikit pun yang bertentangan dengan kalimah lailahaillallah. Hari ini, dari
pagi sampai petang, siang dan malam, percakapan kita, fikir kita, pendengaran
kita, semua bertentangan dengan kalimah lailahaillallah. Dalam keadaan macam
ni, bagaimana yakin kita boleh betul?
Pertama
sekali kita kena betulkan percakapan kita, fikir kita dan setiap orang Islam
kena fikir ini kerja dia dan tanggungjawab dia. Setiap hari pergi jumpa
manusia, cakap tentang kebesaran Allah, cakap tentang kehebatan Allah, cakap
tentang kalimah lailahaillallah. Hari ini timbul salah faham dalam diri orang
Islam sendiri, kita menyangka dakwah iman, dakwah kalimah adalah untuk orang
kafir, bukan untuk orang Islam. Kenapa saya perlu dakwah kalimah sedangkan saya
sudah Islam? Dalam Quran Allah s.w.t telah terangkan bahawa orang yang paling
berhak atas kalimah adalah orang Islam. Tuanpunya kalimah ini ialah orang yang
beriman. Dalam Quran, Allah s.w.t telah perintah orang yang beriman supaya
berterusan beriman pada Allah s.w.t. ‘Wahai orang-orang yang telah beriman,
berimanlah kamu’. Yakni kamu kena usaha atas iman kamu sehingga dapat datang
agama yang sempurna dalam kehidupan kamu. Keseluruhan hidup kamu mengikut hukum
ahkam Allah s.w.t. Usaha atas iman ini adalah perintah Allah s.w.t.
Nabi s.a.w telah
perintahkan para sahabat r.a mentajdidkan iman mereka. Walaupun sahabat
mempunyai iman macam gunung, masih lagi nabi s.a.w menyuruh mereka mentajdidkan
iman mereka. Usaha atas kalimah adalah keperluan orang Islam, bukan untuk orang
kafir. Kena usaha atas iman sehingga dapat hasilkan iman yang mantap, iman yang
kuat, iman yang sempurna pada Allah s.w.t sehingga keseluruhan agama dapat
datang dalam kehidupan. Seluruh Quran telah datang dalam kehidupan sahabat r.a
dengan perantaraan yakin. Sahabat kata, ‘kami belajar iman sebelum kami belajar
Quran’. Mereka betulkan yakin mereka, dan keseluruhan Quran telah dapat mereka
amalkan dalam kehidupan.
Perkara
pertama yang kita dan seluruh umat kena faham bahawa kita perlu usaha atas
iman. Inilah tanggungjawab saya, inilah kefarduan atas diri saya. Untuk
betulkan iman saya, untuk betulkan yakin saya, saya kena lapangkan masa jumpa
manusia untuk cakap tentang kalimah lailahaillallah, cakap tentang mahfum
kalimah. Saya kena pergi rumah ke rumah jumpa manusia. Dalam percakapan, dalam
muzakarah, dalam perbincangan, 24 jam, saya tidak boleh cakap perkataan yang
bertentangan dengan kalimah lailahaillallah. Kita kena cakap tentang kalimah
ini lagi dan lagi sebagaimana sahabat-sahabat telah buat. Sahabat telah pegang
tangan sahabat yang lain, duduk sama-sama, mereka berbincang tentang iman,
tentang kebesaran Allah, tentang kudrat Allah s.w.t. Kita kena rasa ini
tanggungjawab kefarduan atas diri saya.
Dalam
kalimah ini, pertama sekali kita kena nafi. Kita kena nafikan selain dari Allah,
semuanya tak boleh buat apa-apa, yang berkuasa hanya Allah s.w.t. Tujuh petala
bumi, tujuh petala langit, dari sebesar makhluk hinggalah sekecil makhluk,
semuanya tidak boleh buat apa-apa, tidak ada kuasa untuk bagi menafaat atau
mudharat. Yang berkuasa hanya Allah s.w.t. Sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah
nafikan segala-galanya, telah nafikan benda-benda yang bergerak, nafikan
bintang, nafikan bulan, nafikan matahari, juga nafikan benda yang tidak
bergerak, nafikan berhala-berhala. Beliau telah pecahkan berhala-berhala
tersebut. Beliau telah nafikan segala-galanya. Beliau telah mentauhidkan Allah
s.w.t. Beliau telah hadapkan tawajjuh beliau hanya pada Allah s.w.t. Beliau
bukan hanya kata dengan lidah, bahkan beliau telah buktikan dengan amalannya. Pada
ketika beliau hendak dicampak ke dalam api oleh Namrud, maka malaikat Jibrail
a.s telah bawa malaikat yang jaga air, malaikat yang jaga gunung untuk bantu
Ibrahim a.s tetapi pada ketika itu beliau tidak jadikan malaikat-malaikat
sebagai perantaraan. Beliau telah berpaling dari malaikat, beliau tidak
berhajat pada malaikat. Beliau tidak letak apa pun antara beliau dengan Allah
s.w.t. maka bantuan Allah telah datang secara langsung kepada Ibrahim a.s.
Tanpa asbab, Allah s.w.t bantu Ibrahim a.s. Allah s.w.t perintah api supaya
jadi selamat dan sejahtera untuk Ibrahim a.s.
Inilah
perkara yang kita hendak belajar dari kisah Ibrahim a.s bahawa kita tidak boleh
letak apa-apa antara kita dengan Allah s.w.t. Keyakinan kita hanya pada Allah
s.w.t. Hari ini, secara umumnya di seluruh dunia telah berlaku salah faham yang
amat besar dikalangan orang Islam kerana mereka telah letakkan antara mereka
dengan Allah s.w.t, asbab-asbab kebendaan dunia. Maulana Yusuf rah.[4] kata syarat pertama untuk seseorang itu ambil
faedah daripada kudrat Allah s.w.t, daripada khazanah Allah s.w.t, dia kena
buang langsung, tidak ada sedikit pun dalam hati dia keyakinan pada asbab
kebendaan. Dia kena bersihkan keyakinan hati dia selain dari Allah s.w.t. Hari
ini, orang Islam cuba ambil faedah daripada kudrat Allah s.w.t untuk selesaikan
masalah dengan perantaraan benda dunia. Maulana Yusuf rah. kata orang kafir pun
buat, orang kafir pun pandai, orang kafir pun tahu iaitu ambil faedah dari khazanah
Allah s.w.t melalui benda-benda dunia.
Allah s.w.t
pencipta, Allah s.w.t pemberi rezeki tetapi orang kafir letak benda-benda asbab
antara mereka dengan Allah s.w.t. Hari ini, orang Islam letak kedai, letak
kilang, letak wang ringgit sebagai perantaraan untuk dapat daripada Allah
s.w.t. Sebenarnya, untuk dapat secara langsung daripada khazanah Allah s.w.t,
adalah dengan perantaraan amal, bukan asbab. Perkataan yang keluar dari mulut
orang Islam sendiri yang mengatakan dunia darul asbab, untuk dapat dari Allah
s.w.t kena ada asbab. Ini tidak betul. Maulana Yusuf rah. kata syarat untuk
dapat faedah/bantuan daripada Allah s.w.t kena buang asbab dari hati. Kena
keluarkan keyakinan asbab dari hati.
Ini
perkara yang penting yang kita kena usaha, kena sedar, kena faham, kita perlu
usaha atas iman agar datang dalam hati keyakinan yang bulat hanya pada Allah
s.w.t. Percakapan kita mestilah percakapan yang mengagungkan Allah s.w.t.
Percakapan tentang kehebatan Allah s.w.t. Perkara ini sangat penting sehingga baginda
Rasulullah s.a.w sendiri, seorang nabi, bila ditanya tentang ashabul kahfi,
maka nabi s.a.w telah kata baginda akan bagi jawapan esok. Baginda terlupa
hendak kata insya’Allah. Maka 15 hari wahyu tidak turun. Selepas 15 hari baru
wahyu turun. Allah s.w.t tegur nabi s.a.w kerana tidak kata insya’Allah, iaitu
‘sekiranya diizinkan oleh Allah, saya akan jawab’. Begitu sekali kita kena jaga
percakapan kita. Setiap perkara yang berlaku, akan berlaku, telah berlaku,
semuanya dinisbahkan hanya pada Allah s.w.t. Semua berlaku dengan kehendak
Allah s.w.t. Inilah usaha yang pertama yang kita kena buat, cakap kebesaran
Allah.
Pertama, kita
perlu meyakini yang berkuasa hanya Allah s.w.t. Kedua, cara untuk dapat
daripada Allah s.w.t hanya dengan cara Nabi, muhammadurrasulullah. Makna
beriman pada Rasulullah s.a.w ialah kita meyakini akan segala apa yang
dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. Nabi s.a.w menyampaikan kepada kita janji-janji
Allah, perkara-perkara yang ghaib, tentang syurga, neraka, akhirat. Bila kita
meyakini janji-janji Allah s.w.t tersebut, meyakini segala apa yang dikhabarkan
oleh Nabi s.a.w, semata-mata percayanya kita pada Nabi s.a.w, itu adalah iman.
Tanpa perkara ini, iman kita tidak sempurna. Syarat untuk iman kita diterima
oleh Allah s.w.t., syarat untuk kesempurnaan iman ialah kita kena meyakini 100%
segala yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w pada kita walaupun kita tidak nampak.
Di zaman Nabi, sahabat, orang kafir dan orang musyrik semua dengar perkataan
nabi. Sahabat dengar perkataan nabi dengan penuh yakin. Benarlah kata-kata
Allah dan Rasul. Orang musyrik dengar tetapi mereka kata, apa yang terjadi
semua tipu belaka.
Bila
berlaku sesuatu keadaan, orang beriman lihat pada janji Allah akan tetapi orang
munafik bila berlaku sesuatu keadaan, mereka lihat pada keadaan tersebut,
mereka tidak lihat pada janji Allah. Dalam perang Khandak, bila berlaku
tekanan, orang beriman lihat pada janji Allah. Mereka yakin 100% apa yang Allah
dan Rasul janji. Orang munafik dalam syak. Mereka tidak yakin bahkan mereka
kata ini semua tipudaya belaka. Hari ini pun, orang Islam diseluruh dunia, bila
berlaku keadaan, ramai orang Islam yang lemah iman, mereka mula sangsi dan syak
pada janji Allah s.w.t. Sebagaimana orang munafik lihat apa yang berlaku pada
sahabat dalam perang Khandak, mereka syak dan kata macam-macam, mereka kata
janji Nabi s.a.w tidak betul. Orang beriman, apa pun keadaan yang berlaku,
yakin dia 100%, tidak ada sedikit pun keraguan atas apa yang Allah dan Rasul
telah janjikan. Sahabat-sahabat telah diuji atas keimanan mereka, diuji atas
keyakinan mereka pada nabi s.a.w. Ujian yang pelik-pelik.
Satu
ketika, Nabi s.a.w telah beli seekor kuda daripada seorang arabi. Akad telah
berlaku. Telah berlaku jual beli cuma pada ketika itu Nabi s.a.w tidak bawa
duit. Nabi s.a.w ajak arabi itu ikut baginda untuk pergi ambil duit. Dua-dua
pihak telah bersetuju. Dalam perjalanan, ada satu orang tawarkan pada arabi itu
untuk beli kuda tersebut. Setelah berbincang, arabi itu bersetuju untuk jual
kuda pada orang kedua. Dia kata, ‘wahai Muhammad, kamu nak beli kuda ni?’ Nabi
s.a.w kata, ‘aku dah beli kuda itu, kita sudah bersetuju’. Arabi tu kata, ‘aku
tak jual pun lagi kuda ni pada kamu’. Dia telah nafikan kata-kata Nabi s.a.w.
Arabi tu kata, ‘kalau betul kata-kata kamu, bawakan saksi, tiada siapa pun
lihat akad jual beli tersebut’. Satu orang sahabat, Huzaimah bin Sabit, lalu di
situ dan dia kata aku sedia jadi saksi. ‘Aku bersaksi bahawa baginda s.a.w
telah beli kuda kamu’. Rasulullah s.a.w tanya pada Huzaimah, ‘kenapa kamu
berani jadi saksi atas perkara yang kamu tidak lihat’. Huzaimah kata, ‘wahai
Rasulullah, kamu telah beritahu pasal syurga, neraka, mizan, mahsyar, kubur,
kehidupan selepas mati, semua itu kami tidak nampak, tetapi kami yakin 100% apa
yang telah nabi kata. Takkanlah perkara yang kecil macam ini kami tidak boleh
percaya’. Begitu sekali yakin para sahabat kepada Nabi s.a.w. Sejak dari itu,
Nabi s.a.w kata kekuatan saksi Huzaimah sama dengan dua orang.
Inilah usaha yang
kita kena buat. Jalan untuk dapat iman, yakin yang sempurna pada Allah dan
Rasul. Pertama, hanya Allah yang berkuasa, hanya Allah yang buat
segala-galanya. Kedua, caranya ialah cara Rasulullah. Tiada cara lain untuk
kita ambil dari Allah hanya dengan cara perantaraan amal Nabi s.a.w. Hari ni,
orang-orang Islam telah mengganggap bahawa cara untuk dapat dari khazanah Allah
adalah dengan perantaraan asbab, dengan perantaraan makhluk, benda-benda dunia.
Mereka jadikan kedai mereka, ladang mereka, sebagai perantaraan untuk dapat
dari Allah padahal dalam asbab, dalam benda-benda tidak ada janji Allah. Janji
Allah s.w.t semata-mata di dalam amal dengan cara muhammadurrasulullah.
Allah
s.w.t telah ciptakan asbab untuk manusia sebagai imtihan, sebagai ujian bagi
manusia. Allah s.w.t hendak tengok hamba-hambanya adakah mereka datang kepada
Allah dulu atau pergi pada asbab dulu. Allah hendak tengok, bila kita ada
masalah atau mengalami sesuatu keadaan maka kita pergi pada Allah dulu, kita
tawajjuh pada Allah dan kita guna cara yang Allah telah beri, cara yang mana
ada janji Allah dengan perantaraan amal. Dengan perantaraan amal segala masalah
kita akan diselesaikan oleh Allah s.w.t. Kalau satu orang telah pergi pada
asbab dulu, tidak pergi pada Allah s.w.t terlebih dulu, maknanya dia telah
utamakan asbab dan Allah s.w.t tidak akan selesaikan masalah dia.
Hari ini, orang
Islam fikir, kita boleh buat asbab cantik-cantik, tanggungjawab untuk usaha
atas asbab, yang sempurnakan Allah s.w.t. Usaha atas kedai, usaha atas ladang,
usaha atas kilang dan kedepankan pada Allah s.w.t. ‘Aku sudah usaha, Engkau
bagilah rezeki’. Itu bukan caranya. Caranya ialah dengan amal, dengan
perantaraan solat, perantaraan doa, dengan perantaraan amal kita kedepankan
pada Allah s.w.t maka bantuan Allah s.w.t akan datang pada kita. Sebagaimana
sahabat-sahabat, bila mereka menghadapi sesuatu keadaan, mereka akan kedepankan
amal, mereka dahulukan amal daripada asbab. Hari ini kita buat asbab dahulu,
bila asbab tidak berjaya, selepas itu baru minta dengan Allah s.w.t. Sahabat
pergi pada Allah s.w.t dahulu. 2 keadaan berlaku samada Allah s.w.t bagi
bantuan pada mereka dengan amal mereka tanpa perlu pergi pada asbab iaitu tanpa
asbab Allah s.w.t bantu mereka dan kadang-kadang Allah s.w.t bagi bantuan
dengan perantaraan asbab. Sahabat buat amal dan juga asbab tetapi mereka
dahulukan amal.
Perkara
ini kita kena cerita lagi dan lagi. Bantuan ghaib Allah s.w.t pada sahabat dan
bantuan ghaib Allah s.w.t pada nabi-nabi dan rasul-rasul. Ini bukan semata-mata
sejarah. Hari ini kita baca, kita tulis kisah nabi sebagai satu sejarah
sedangkan kisah nabi-nabi, kisah rasul, bantuan ghaib Allah s.w.t pada nabi dan
rasul, bantuan ghaib Allah s.w.t pada sahabat, perkara ini dituntut untuk
dicerita lagi dan lagi untuk bentuk iman kita. Dalam Quran Allah s.w.t cerita
kisah nabi-nabi pada Rasulullah s.a.w. Allah berfirman, ‘Kami ceritakan pada
kamu kisah nabi-nabi dahulu yang akan memantapkan hati kamu’. Allah perintahkan
nabi s.a.w ceritakan pada sahabat. Perlu dicakap lagi dan lagi dalam dakwah
kita supaya timbul dalam hati kita keyakinan pada bantuan Allah.
Hari ini orang
kata mereka sahabat, mereka dapat bantuan kerana mereka sahabat nabi, kita
bukan sahabat, kita kena guna asbab, kita kena usaha atas asbab. Sahabat dapat
bantuan Allah s.w.t kerana amal yang diyakini. Janji bantuan Allah s.w.t
terbuka hingga hari kiamat. Bukan khas untuk sahabat-sahabat sahaja. Allah
s.w.t berfirman dalam Quran,‘Kami pasti dan pasti akan bantu rasul Kami dan
orang-orang yang beriman pada hari akhirat’. Allah s.w.t telah berjanji untuk
bantu orang-orang yang beriman. Bantuan Allah s.w.t bukan khusus untuk para
sahabat sahaja. Janji Allah s.w.t untuk setiap orang beriman hingga hari
kiamat. Jika kita dapat wujudkan amal yang sama yang telah wujud dalam diri
sahabat, kita juga akan dapat bantuan secara langsung daripada Allah s.w.t
sebagaimana sahabat-sahabat.
Dalam hadith
diberitahu, satu orang beriman hari ini sama dengan 10 orang sahabat dan
ganjaran untuk satu orang beriman hari ini sama dengan 50 orang sahabat.
Sahabat tanya, ‘adakah 50 orang dikalangan mereka?’ Nabi s.a.w jawab, ‘tidak,
sama dengan 50 orang dikalangan kamu’.
Satu
orang yang terima bantuan ghaib daripada Allah s.w.t di dunia, ini bukanlah
maksud. Maksud amal ialah untuk dapat keredhaan Allah s.w.t. Tanda sempurna
iman seseorang itu bukanlah sebab dia dapat bantuan ghaib Allah s.w.t. Nabi
s.a.w ditanya, ‘apa tanda iman?’. Nabi tidak kata tanda iman ialah bila
seseorang itu dapat bantuan ghaib daripada Allah s.w.t. Nabi kata, tanda iman
ialah bila buat amal baik kamu rasa gembira, dan bila buat benda yang buruk
kamu rasa sedih. Kita kena cerita tentang iman dan cerita tentang tanda-tanda
iman.
Satu kumpulan
sahabat telah datang jumpa Nabi s.a.w. Mereka kata dalam diri mereka ada 15
sifat. 5 perkara yang kamu perintah kami beriman dengannya. 5 perkara yang kamu
perintah kami beramal dengannya. 5 perkara yang telah ada dalam diri kami sejak
zaman jahiliyah lagi.
5 perkara yang
kamu perintah kami beriman:
§ beriman kepada
Allah dan Rasul
§ beriman kepada
malaikat
§ beriman kepada kitab-kitab
§ beriman kepada
hari akhirat
§ beriman kepada
takdir
5 perkara yang
kamu perintah kami beramal:
§ kalimah
lailahaillallah muhammadurrasulullah
§ solat
§ zakat
§ puasa di bulan
Ramadhan
§ haji
5
perkara yang sedia ada dalam diri kami:
§ sabar ketika
susah
§ syukur ketika
senang
§ redha dengan
keputusan Allah
§ berani
berhadapan dengan musuh
§ bila musuh
ditimpa kesusahan, kami tidak gembira musibah yang menimpa mereka
Nabi s.a.w kata
mereka ini adalah orang-orang yang faqih. Faqih ialah orang yang mempunyai
kefahaman yang sempurna tentang agama. Nabi s.a.w telah iktiraf mereka sebagai
fuqaha, udabaq. Maulana kata, kalau kamu mahir macam mana pun dalam bahasa
arab, kamu tidak boleh sampai ke tahap kemahiran Abu Jahal. Nabi s.a.w kata
mereka ini faqih, fuqaha, udabaq. Kalau pintu kenabian masih terbuka, mereka
ini layak untuk jadi nabi kerana ketinggian sifat yang mereka miliki. Ini
sifat-sifat yang patut ada pada setiap orang beriman. Sifat orang beriman,
sabar dan syukur. Keseluruhan sifat iman terkumpul dalam 2 perkara ini. Satu
orang yang mempunyai sifat sabar dan syukur yang sempurna pada Allah s.w.t maka
dia ialah seorang yang mempunyai iman yang sempurna pada Allah s.w.t. Ini tanda
iman.
Hari ini kita
faham sabar itu ialah bila satu orang dipukul, dia tahan atas pukulan tersebut,
maka dia orang yang sabar. Satu orang yang dapat nikmat, dapat kesenangan maka
dia kata dia bersyukur pada Allah s.w.t. Kedua-dua ini bukan syukur dan bukan
sabar.
Sabar adalah kita
menahan diri kita daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Syukur adalah
kita menggunakan diri kita menurut perintah/kehendak Allah s.w.t.
Walaupun
tiada makanan untuk dimakan, tiada pakaian untuk dipakai, tiada duit untuk
dibelanja, dia boleh jadi satu orang yang bersyukur pada Allah s.w.t apabila
dia guna apa yang dia ada ikut kehendak dan perintah Allah s.w.t. Ibadat bukan
balasan bagi nikmat. Satu orang yang dapat nikmat, sebagai balasan, dia
beribadat pada Allah s.w.t. Ibadat adalah hak Allah s.w.t.
Iman adalah Ä“taat.
Tanda iman dalam diri seseorang ialah dia ada sifat taat pada perintah-perintah
Allah s.w.t. Ibadat adalah hak Allah s.w.t. Kalau seseorang itu, seumur hidup
dia Allah s.w.t tidak bagi dia sesuap makanan, tidak bagi seteguk air pun,
Allah tidak bagi apa-apa nikmat pun pada dia, pun dia tetap kena beribadat pada
Allah s.w.t. Nikmat-nikmat dunia bukanlah balasan bagi ibadat kerana dunia ini
begitu hina disisi Allah s.w.t. Dunia tidak layak jadi balasan untuk ibadat.
Satu orang yang telah mati, minta izin dengan Allah s.w.t untuk kembali ke
dunia untuk ucap satu subhanallah. Dia sanggup korbankan harta seluruh dunia
untuk kembali dan buat satu amal, pun Allah s.w.t tidak terima. Ini menunjukkan
seluruh dunia ini tidak ada nilai dibandingkan dengan satu subhanallah. Kalau
seluruh manusia, semua taat perintah Allah s.w.t, beriman pada Allah s.w.t,
beribadat pada Allah s.w.t dan Allah s.w.t tidak bagi apa-apa balasan di dunia,
itu pun hak Allah s.w.t. Kalau seluruh manusia beribadat dan Allah s.w.t
masukkan semua ke dalam neraka, itu pun hak Allah s.w.t. Tiada siapa pun ada
hak untuk tanya Allah s.w.t, ‘kenapa?’ Ibadat adalah semata-mata hak mutlak
Allah s.w.t dan setiap hamba Allah kena beribadat pada Allah s.w.t.
Apa
yang kita faham ialah bila kita ditimpa musibah kita hendaklah bersabar, nanti
bantuan Allah s.w.t akan datang. Bantuan Allah s.w.t tidak akan datang, keadaan
tidak akan berubah melainkan dalam diri kita ada sabar dan taqwa. Kedua-dua
sifat kena ada serentak. Kalau cuma hanya ada sabar, taqwa tidak ada, maka
musibah yang datang disebabkan dosa-dosa yang kita telah lakukan, kesusahan
tersebut tidak akan terangkat semata-mata hanya dengan bersabar. Sabar kena
datang dengan taqwa. Dalam Quran, Allah sebut sabar dan taqwa sekali. Kedua-dua
sifat kena ada dalam diri, barulah bantuan Allah s.w.t akan datang dan Allah
s.w.t akan ubah keadaan.
Maulana Yusuf
rah. bagi misal, satu orang sabar tanpa taqwa, seperti seorang pencuri kena
tangkap. Polis pukul dia. Dia doa azab untuk polis. Azab Allah s.w.t tidak akan
turun pada polis itu. Kenapa? Kerana pencuri tidak ada taqwa. Dia cuma sabar
sahaja. Allah s.w.t tidak terima doa buruk dia pada polis. Untuk dapat bantuan
Allah s.w.t, untuk Allah s.w.t ubah keadaan yang menimpa orang Islam kena ada
sifat sabar dan taqwa.
Dalam Quran,
Allah s.w.t cerita kisah Nabi Yusuf a.s. Seluruh kisah Nabi Yusuf a.s berkisar
pada kedua-dua sifat sabar dan taqwa. Allah s.w.t telah ubah keadaan beliau dan
keluarkan beliau dari segala masalah. Begitu juga dengan bani Israil dan Nabi
Musa a.s. Allah s.w.t telah keluarkan Nabi Musa a.s dan bani Israil dari
cengkaman Firaun dan Allah s.w.t binasakan Firaun. Orang Islam doa
laknat/keburukan banyak manapun atas musuh, Allah s.w.t tidak akan ubah
keadaan, bantuan Allah s.w.t tidak akan datang, musibah tidak akan hilang
selagi sabar dan taqwa tidak ada dalam diri.
Orang
Islam amalkan agama tetapi masih gagal. 2 sebab kegagalan. Pertama, kerana
orang Islam tidak ada keyakinan bahawa kejayaan dalam agama. Kedua, kerana
mengganggap setakat beberapa amal yang dia telah lakukan itu adalah agama.
Agama adalah himpunan keseluruhan amal. Ibadat adalah satu himpunan hukum-hukum
Allah s.w.t. Mentaati segala hukum-hukum tersebut dipanggil ibadat. Maulana
Zakaria rah. kata ibadat ada 10 perkara. Solat, puasa,
zakat, haji, zikir, tilawah, tijarah, dakwah, ihtimam (ambil berat) akan sunnah
dan tunaikan hak-hak jiran. Satu orang yang hendak dapat kejayaan kena amalkan
agama yang sempurna dalam kehidupan. Dari segi dunia, bila asbab tidak sempurna
maka tidak akan memberikan hasil seperti yang dikehendaki. Sedangkan ianya
tidak ada janji Allah s.w.t. Kalau lengkap pun masih tidak ada janji Allah
s.w.t.
Adakah dengan
agama yang tidak sempurna kita boleh dapat kejayaan? Untuk dapat kejayaan dari
Allah s.w.t, pertama kena ada yakin bahawa dengan agama kita akan dapat
kejayaan. Kedua, kita kena amalkan agama yang sempurna dalam kehidupan. Oleh
itu, usaha dakwah yang kita buat hari ini adalah dakwah kepada agama yang
sempurna. ‘Deen yang kamil’, dengan membawa agama yang sempurna dalam
kehidupan.
Usaha
kita bukan cakap sahaja. Bahkan kita kena tunjukkan, musyahadahkan agama yang
sempurna dalam diri kepada manusia. Ini yang berlaku pada sahabat-sahabat.
Sahabat pergi ke seluruh dunia, mereka bawa agama yang sempurna secara amali
dalam kehidupan mereka. Seorang sahabat sudah cukup untuk hidayat satu negara.
Hari ini, banyak jemaah bergerak ke seluruh dunia tetapi masih belum cukup
untuk hidayat seluruh dunia. Kenapa? Kita kena bergerak dengan membawa agama
yang sempurna dalam diri. Bukan hanya cakap tentang iman, bukan hanya dakwah
dengan percakapan, bahkan kita juga kena dakwah dengan amalan. Sahabat-sahabat
bergerak dengan membawa agama yang sempurna dalam kehidupan dan jadi asbab
hidayat untuk seluruh dunia. Kita kena buat usaha dengan penuh yakin,
tarbiyah/taskiah (bersih) untuk diri dan hidayat untuk seluruh alam. Hidayat
seluruh alam adalah pasti bila buat usaha yang telah dibuat oleh Nabi s.a.w dan
para sahabat. Dengan usaha dakwah, Allah s.w.t akan ubah yakin dan keadaan.
Allah s.w.t telah
jelaskan dalam Quran pasal satu kaum yang mana Allah s.w.t telah buat keputusan
untuk dibinasakan sebab maksiat yang mereka telah buat. Satu golongan cuba
untuk nasihatkan mereka supaya mereka berhenti daripada maksiat. Satu golongan
orang-orang soleh yang tidak buat maksiat telah tegur orang yang cuba hendak
ubah tadi. Apa faedah yang kamu dapat bila bagi nasihat pada mereka sedangkan
Allah s.w.t telah buat keputusan untuk binasakan mereka. Golongan yang buat
usaha tadi jawab, pertama, supaya kami tunaikan tanggungjawab kami pada Allah.
Kedua, moga-moga mereka akan bertaqwa dan tinggalkan maksiat tersebut. Kaum
yang Allah telah buat keputusan pun diharap mereka boleh berubah apabila mereka
didakwahkan. Kita kena yakin dengan perantaraan dakwah Allah akan ubah yakin
dan ubah keadaan. Kaum yang telah diberi peringatan, mereka masih dalam
maksiat, Kami telah selamatkan mereka-mereka yang telah beri peringatan tadi. Satu
orang yang buat dakwah dengan yakin, pasti dia akan selamat dari azab Allah.
Kalau tidak, bila Allah s.w.t turunkan azab, semua akan kena, orang soleh yang
tidak buat maksiat pun akan ditimpa azab. Hanya mereka yang telah berusaha
bersungguh-sungguh dengan sedaya upaya mereka untuk ubah keadaan tadi, mereka
akan diselamatkan oleh Allah s.w.t. dalam hadith, ibarat macam dalam kapal.
Satu orang tebok lubang. Yang akan binasa/lemas, bukan orang yang tebok sahaja,
bahkan seluruh penghuni kapal akan tenggelam. Ahli ibadat, ahli zikir, orang
soleh, orang maksiat, semua sekali akan tenggelam bersama dengan orang yang
tebok kapal tadi. Kecuali orang yang larang. Orang yang telah berusaha untuk
menegah daripada tebok lubang.
Masalah di depan
kita bukan hanya masalah diri kita sahaja. Masalah hari ini adalah masalah
seluruh alam, seluruh manusia. Kita dipertanggungjawabkan untuk seluruh manusia
di seluruh dunia. Allah s.w.t akan ambil kerja dari mereka yang dalam hati dia
ada fikir bagaimana agama yang sempurna dapat datang dalam diri saya dan diri
seluruh umat di seluruh alam. Bagaimana agama dapat diamalkan 100% di seluruh
dunia. Ini tanggungjawab kita. Satu orang yang buat maksiat, kalau kita tidak
usaha atas dia, maka dia akan jadi asbab turunnya azab Allah dan semua akan
binasa.
Kita
kena yakin dengan usaha Nabi s.a.w yang akan dapat hidayat dari Allah s.w.t.
Nabi s.a.w berada di jalan yang lurus dan Nabi s.a.w bawa manusia ke jalan yang
lurus. Satu orang yang berada di jalan yang lurus maka dia akan dapat Allah.
Satu orang sahabat telah dakwah kaum dia dari pagi hingga petang, seluruh kaum
dia telah masuk Islam. Bila orang kafir didakwahkan dan kesannya ialah masuk
Islam, apatah lagi orang Islam sendiri yang didakwahkan kepada Islam. Baginda
s.a.w telah jadikan setiap orang sahabat sebagai da’i. Jin-jin juga telah
beriman kepada nabi s.a.w dan mereka juga dijadikan da’i. Allah s.w.t telah
utuskan Nabi s.a.w untuk manusia dan jin. Satu kumpulan jin telah dengar bacaan
Quran Nabi s.a.w. Mereka telah beriman pada Nabi s.a.w dan kembali kepada kaum
mereka dan dakwah kaum mereka masuk Islam. ‘Sahutlah seruan nabi yang telah
dihantar oleh Allah s.w.t’. Jin-jin juga telah buat kerja dakwah.
Setiap sahabat
adalah da’i, tidak kira dari golongan mana, kabilah mana, kulit putih, kulit
hitam, negara mana, tidak kira siapa sahaja tanpa pengecualian, setiap orang
adalah da’i. Secara ummumi setiap orang terlibat dalam dakwah. Kerja dakwah
bukan untuk orang tertentu sahaja. Kerja dakwah adalah kerja setiap umat nabi
s.a.w. Setiap orang yang beriman kepada Nabi s.a.w bertanggungjawab untuk buat kerja
dakwah. Inilah kerja umat nabi s.a.w. Setiap lapisan umat perlu dibangunkan
atas kerja dakwah. Bila tidak ada ummumiat dalam usaha dakwah, telah menjadi
sebab utama terjadi kemurtadan dalam umat ini.
Bila
usaha dakwah dibuat secara ummumiat maka pintu untuk orang masuk Islam akan
terbuka luas dan pintu untuk orang Islam keluar dari Islam akan tertutup rapat.
Bila kerja dakwah tidak dibuat, pintu untuk orang masuk Islam telah ditutup dan
pintu untuk orang Islam keluar dari Islam telah dibuka. Maulana pesan baca
kitab hayatus sahabah. Jadikan kitab ini sentiasa kita mentelaah khususnya
untuk orang yang buat usaha ini. Apakah bentuk/cara usaha yang sahabat-sahabat
telah buat dan umat nabi kena ikut. Bila baca kitab hayatus sahabah akan
terbentuk mizaj seorang da’i. Fikir, sifat, tabiat sebagai seorang da’i.
Dalam hayatus
sahabah ada satu kisah bagaimana Ikrimah bin Abu Jahal. Ikrimah ialah anak
kepada Abu Jahal. Abu Jahal musuh Islam yang besar. Anaknya telah masuk Islam
dan menjadi pejuang Islam dan telah korbankan nyawa untuk Islam. Macam mana
perkara ini boleh berlaku? Bila Nabi s.a.w dapat tawan kota Mekah, Ikrimah
telah lari keluar dari Mekah. Dia telah naik sampan menuju ke arah Yaman.
Ditengah laut, datang ribut taufan. Sampan hendak tenggelam. Dia kata pada
pembawa sampan, apakah cara untuk selamat? Pembawa sampan tadi tidak tanya kamu
pandai berenang atau tidak. Dia kata kalau nak selamat kamu kena ucap kalimah
ikhlas. Dakwah telah jadi ummumiat di zaman nabi s.a.w. Pembawa sampan pun buat
dakwah. Dalam keadaan genting macam itu pun dia buat dakwah. Ikrimah tanya apa
itu kalimah ikhlas? Dia jawab, lailahaillallah. Ikrimah kata kerana hendak lari
dari kalimah itulah aku datang sini. Aku hendak lari ke Yaman sebab aku hendak
lari dari Nabi s.a.w. Ditepi pantai, isteri dia bagi isyarat supaya dia balik.
Kisah yang panjang, akhirnya Ikrimah telah masuk Islam. Bila dakwah telah
dijalankan secara umum, orang yang hendak lari dari Islam, jalan telah ditutup,
dia terpaksa masuk Islam. Hari ini dakwah tidak dijalankan secara umum. Kita
anggap kerja dakwah ini kerja golongan orang tertentu sahaja. Bila hilang
ummumiat dalam usaha dakwah, pintu kemurtadan telah terbuka luas. Kita kena
usahakan setiap umat atas kerja dakwah.
Kita
mengganggap usaha yang dibuat sekarang ini berlainan dengan usaha yang dibuat
oleh sahabat. Maulana Yusuf rah. berkali-kali kata inilah usaha yang sahabat
telah buat. Usaha yang sama, kerja yang sama. Selagi kita tidak yakin ini
adalah usaha yang telah dibuat oleh sahabat-sahabat, selagi itulah Allah s.w.t
tidak akan datangkan kesan sebagaimana kesan yang Allah s.w.t telah datangkan
pada sahabat. Bantuan, ganjaran, nusrah, pahala, fadhilat, kelebihan yang
sahabat dapat, kita tidak akan dapat selagi mana kita anggap usaha yang kita
buat tidak sama sebagaimana usaha yang sahabat telah buat. Kita kena letakkan
kelebihan/ganjaran yang Allah s.w.t telah janji di depan kita. Maulana kata
kita kena selalu baca kitab hayatus sahabah. Kita buat usaha dengan yakin pada
janji-janji tersebut. Kalau tidak, usaha yang kita buat akan jadi macam satu
gerakan, satu persatuan sahaja yang tidak datangkan perubahan pada umat, tidak
akan datangkan apa-apa kesan. Kita kena buat usaha dengan penuh yakin. Inilah
kerja yang telah dibuat oleh para sahabat r.a. Segala bantuan yang sahabat
dapat, kita pun akan dapat bila kita buat usaha ini.
Matlamat
usaha ini bukan untuk bawa umat kepada amal infradi, ibadat tetapi untuk bawa
umat kepada kerja Nabi s.a.w. Satu pagi atau satu petang di jalan Allah s.w.t
lebih baik daripada dunia dan seisinya. Satu pagi di jalan Allah s.w.t, akan
mendahului selama 500 tahun. Bila-bila masa sahaja, bila Nabi s.a.w nampak
sahabat bagi tumpuan pada amal infradi yang menyebabkan dia menangguh untuk
keluar di jalan Allah, Nabi s.a.w akan terus menerangkan pada sahabat tentang
kelebihan keluar di jalan Allah s.w.t yang mengatasi amal infradi. Abdullah
Rahawa r.a telah diputuskan untuk keluar di jalan Allah bersama dengan jemaah.
Jemaah telah keluar awal pagi, dia telah tangguh keluar kerana hendak kelebihan
solat Jumaat di belakang Nabi s.a.w. Dia fikir dia ada kuda yang pantas dan
boleh kejar jemaah. Selepas solat Jumaat, Nabi s.a.w dapati Abdullah Rahawa r.a
masih ada. Nabi s.a.w panggil dia. ‘Kenapa tidak keluar lagi?’ Abdullah Rahawa
r.a tangguh keluar di jalan Allah bukan sebab kerja dunia. Dia lewat keluar di
jalan Allah sebab agama, sebab hendak solat Jumaat dibelakang Nabi s.a.w. Nabi
s.a.w tanya, ‘berapa lama kamu lewat?’ Dia jawab, ‘satu pagi’. Nabi s.a.w kata,
‘kamu tahu tak banyak mana mereka telah mendahului kamu?’ Dari segi masa,
mereka telah mendahului kamu selama 500 tahun dan dari segi jarak, mereka telah
mendahului kamu sejauh maghrib dan masyrik (timur dan barat).
Maulana tidak
faham, hari ini bila kita dengar hadith kelebihan keluar di jalan Allah, kita
anggap kelebihan ini untuk satu perkara yang khusus, berperang. Berperang bukan
maksud kerana tidak ada mana-mana nabi diutuskan oleh Allah s.w.t untuk
binasakan manusia. Nabi-nabi dihantar oleh Allah s.w.t untuk jadi asbab hidayat.
Nabi pesan, dakwah dahulu selama 3 hari, bila mereka masuk Islam itu lebih baik
untuk kamu dari unta-unta merah. Bila satu orang masuk Islam, sahabat akan
takbir dengan kuat sekali mengatasi kegembiraan mereka dapat menawan satu
negara. Maksud berjihad bukan untuk berperang tetapi atas maksud kerja dakwah
untuk mengajak manusia pada Allah s.w.t.
Hari
ini orang anggap kerja dakwah ini adalah salah satu daripada amal-amal baik.
Pemahaman ini Nabi s.a.w telah hapuskan. Nabi s.a.w kata pada Abdullah Rahawa r.a,
kalau kamu infakkan harta seluruh dunia pun kamu tidak dapat mengejar mereka.
Kerja dakwah ini mengatasi segala kerja-kerja amal yang lain. Kita kena ada
yakin bahawa kita akan dapat ganjaran dan kelebihan yang sama sebagaimana
sahabat-sahabat telah dapat. Kalau tidak ada yakin, kita tidak akan dapat kesan
yang sama.
#mencari sesuatu,fikir-fikirkan selalu..